Rabu, Ogos 22

Amerika Yang Bodoh


Waktu aku tengah handsome dulu, aku tengah usya seorang makwe ni. Bagi aku dia ni sangat cool; dia suka main skateboard, pandai breakdance, dia suka bising dalam perhimpunan dan dia suka bergaduh.

Betul tak tipu.

Dulu aku seorang pengawas. Nak dijadikan cerita, aku juga merupakan pengawas yang bertugas menjaga perhimpunan. Dari atas tempat aku bertugas, aku dapat nampak seorang makwe yang akan bercakap sangat kuat sampai ke depan sedangkan orang lain terkial-kial muka menahan panas. Aku tanda muka dia dalam otak aku dan cuba mencari siapa gerangan makwe ni.

Dengan bantuan kawan aku, aku dapat serba sedikit info tentang dia ni. Sekali kawan aku pesan yang nak mengorat dia kena pandai main skateboard. Apa lagi mencanak lah aku mencari papan selaju yang murah-murah nak kasi skill power dalam mengorat makwe. Sempat juga lah belajar buat Ollie dan Shuvit.

Di samping berjinak-jinak dengan skill skateboard, aku juga tak lupa skill-skill lembut iaitu membeli bunga dan kirim ke makwe waktu Friendship's Day kat sekolah. 

Tak sangka bila dia dapat bunga tu, dia bagi respon yang positif. Punya lah syok waktu tu ada makwe, sanggup sell-out tugas-tugas pengawas. Bila ada spotcheck, aku lah penyimpan Nokia 3310 dia dan liquid paper.  Selalunya juga aku lah juga whistle-blower  operasi-operasi pengawas kat dia.

Bahagia punya fasal.

Sebenarnya tak lama pun hubungan kami. Ada lah dalam 3 bulan sebelum kasih dia beralih arah dibawa angin lalu.

Tapi sempat juga aku tanya, kenapa dia pilih aku. Sedangkan orang secantik dia, ramai juga yang menghimpit.

'Sebab muka awak iras Fazley abang asmara' jawab dia pendek.

Muka nak serius.


Jumaat, Ogos 3

Selamat Berpuasa

Bulan puasa merupakan tempoh paling gembira bagi aku semasa kecil sampai dibawa sampai besar. Aku membesar di Kangar. Tempat ni seronok untuk membesar, tak ada pengaruh bukan-bukan bagi kanak-kanak naif seperti aku. Paling happening in town pun cyberpet.

Tapi ada satu ramadhan yang sentiasa aku akan ingat sampai bila-bila. Waktu tu tahun 1999, abah aku dapat kerja di Kuala Lumpur. Memang keluarga kami pun akan dipindahkan ke sana selepas raya. Aku punya cuak jangan ditegur. Pantang salah tegur boleh terguris hati dan perasaan.

Kuala Lumpur pada pandangan aku hiruk-pikuk, tak sama langsung dengan apa yang aku ada ketika itu. Ya lah-- MacDonalds mana pernah jumpa, panggung wayang pula sempat tengok Senario The Movie sebulan lepas tu tutup, Metrojaya dengan Parkson punya sales pun tua sikit baru nak jumpa. Sedangkan budak-budak Kuala Lumpur ni aku tengok Roy dengan Kuzi cool semacam je, jauh langsung dari aku yang dari bandar kecil ni.

Tu belum masuk dalam bahagian hilang member-member setaman lagi tu.

Dulu lah.

Jadinya lepas saja raya tahun tu (tahun 1999, puasa dan raya dekat hujung tahun) kami pun berpindah ke tempat baru. Aku sempat habiskan cuti sekolah dalam 2 minggu saja sebelum mendaftar ke sekolah. Ingat lagi waktu tu abah tak boleh tunggu untuk pendaftaran sekolah aku, jadi aku terus naik van ke sekolah. Gila cuak baq hang.

Aku punya pelat utara sangat lah pekat sampaikan semua orang memang tak faham aku cakap apa. Yelah depa tu semuanya pelajar cina dan india, aku saja yang melayu dalam van tu. Depa pula tau cakap Inggeris saja. Aku buka aku punya speaking, memang menganga la depa.

Bila sampai saja sekolah satu lagi bala melanda. Agaknya macam mana entah masalah birokrasi kat sekolah tu, aku ditempatkan ke dalam kelas terapung. Kelas terapung ni sebenarnya merupakan kelas yang diwujudkan disebabkan terlebih pelajar untuk diagihkan ke kelas-kelas. Jadi bila ada kelas kosong baru kami boleh masuk, kalau tak merempat dalam bengkel atau makmal sains.

Tambah lagi pelik, aku sepatutnya tingkatan dua tetapi kelas terapung ini untuk tingkatan satu. Macam mana aku boleh angguk waktu cikgu tu suruh masuk ke kelas ni pun aku tak tahu. Seperti diberi nasi kangkang pula.

Stress memang stress. Balik rumah pun sedih saja mengenangkan nasib kena jadi budak tingkatan satu dua kali.Bila mak tanya tengok anak dia sedih, semuanya tak ada masalah. Tapi aku stress. Lepas dua minggu, aku membulatkan hasrat. Macam mana pun, aku kena fight untuk lompat balik ke tingkatan dua.

Jadi aku pergi jumpa dengan cikgu yang mula-mula letak aku dalam kelas terapung tu aku cakap, 'Cikgu saya tingkatan dua. Cikgu dah silap bagi saya masuk kelaih'

'La kenapa tak cakap?' cikgu tu jawab balik.

Senang saja rupanya. Aku saja yang buat teruk stress meres. Aku diberi jalan ke 2 Adil. Kelas aku yang sepatutnya. Sampai sana aku nampak, hampir separuh budak van aku pun kelas 2 Adil.

Celaka.

Sambil berdiri menunggu cikgu kelas untuk datang menguruskan aku. Orang pertama yang tegur aku ialah Izzat. Ingat lagi pertanyaan pertama dia cakap kat aku;

'Kenapa kau menangis ?'

Sebenarnya tu air peluh yang lalu kat mata. Tanda penatnya aku berpusing-pusing di Kuala Lumpur.


Jumaat, Mei 18

Hari Guru Ibarat Lilin

Bila sudah dewasa dan bekerja ni, baru lah kita menyesal benda yang bukan-bukan. Ramai kawan-kawan di Facebook mengeluh betapa mereka rindu pada guru-guru, uniform sekolah, makwe-makwe yang mereka hanya sempat pegang tangan, dan unit beruniform yang mereka pernah sertai.

Tetapi tidak aku.

Tidak sama sekali.

Kalau pun aku masih nak bersekolah, mungkin sekolah takkan terima aku.

Waktu bersekolah di sebuah sekolah di atas bukit sekitar Cheras-Kajang dulu, aku merupakan pelajar yang rosak akhlak dan sering menimbulkan huru-hara di kalangan guru-guru bersama 7 kawan yang lain. Mana taknya--- kalau kau masuk kelas kami, kau akan nampak kami jauh kebelakang. Mungkin selang 2 meja makmal punya terkebelakang. Dan cuba periksa buku-buku kami, mesti ada kesan kertas dikoyak untuk memberi ruang kepada helaian kertas baru --- tak buat kerja sekolah punya pasal, jadi hilangkan bukti. 


Like a boss.

Tapi pernah sekali, aku punya sekolah nak mengadakan hari guru peringkat sekolah. Jadi disebarkanlah berita ini ke serata sekolah. Untuk rekod, aku memang selalu menyertai sebarang persembahan yang dibuat di sekolah itu kalau mendapat peluang. Macam tahun sebelum itu, kami membuat persembahan dikir barat. Tapi untuk kali ni memandang aku sudah mencapai tahun senior di situ, aku cuba untuk membuat sesuatu yang akan menonjolkan diri sendiri.

Caranya senang, buat persembahan yang bukan secara berkelompok. Paling ramai pun 2 orang. Waktu tu Linkin Park tengah menaik, semua makwe boleh dikatakan memberahikan si Mike Shinoda. Jadi memang jalan yang terbaik lah kiranya aku memilih lagu Nobody's Listening untuk persembahan tahun terakhir aku di sekolah tu.

Aku ada ajak kawan baik aku si Izzat untuk turut sama. Dia pandai main gitar, jadi rancangan awalnya nak buat set akustik. Tapi dia menolak memandangkan dia bertugas sebagai pengacara hari guru tu. Sebagai ganti, Termizi yang sedang mendengar perbualan kami tadi menawarkan diri untuk mengganti Izzat.

Pucuk dicita, ulam mendatang.

Jadi latihan pun bermula. Si Termizi rakam lagu tu, yang mana dia memperlahankan vokal penyanyi macam mana entah, teknikal sangat sampai walwahualam aku pun tak tahu. Peringkat awalnya latihan kami berjalan dengan lancar sekali, yang mana aku yakin kami akan mendapat sambutan ramai.

Bila sampai hari ujibakat tu tiba-tiba bencana berlaku. Si Termizi tiba-tiba mendapat panggilan untuk pesta Sains apatah. Tengahari dia dapat tau, tengahari juga dia pergi. Sempat dia berpesan kepada aku yang dia sedikit kecewa tentang perkara ini dan dia minta aku untuk teruskan membawa lagu Linkin Park tu petang ni. Nampaknya persembahan memang akan jadi cacat memandangkan si Termizi dapat bahagian rap yang mana aku sumpah tak reti!

Petang tu, aku naik ke atas pentas bagaikan orang hilang akal. Bayangkan muzik yang ada rap tapi tak bunyi rap, lepas tu tak semena-menanya ada orang menjerit. Tak sampai satu verse pengetua keluar menghempas pintu bilik dia dan menjerit dalam bahasa Inggeris.

'No no No no no !'

Dan ketika aku berlari melompat dari pentas. Aku dapat nampak beberapa geng dikir- barat tengah gelakkan aku. Izzat pun.

Padan muka .


Ahad, Mei 13

Adios Limau !

Malam semalam, Limau mengalami demam panas secara tiba-tiba yang mana menyebabkan otot-ototnya menjadi kejang. Aku cuba untuk bersamanya sepanjang masa. Tapi malangnya pukul 6 pagi tadi, Limau menghembuskan nafas terakhirnya didalam gumpalan kain yang sentiasa dipegang erat oleh tangan aku. Semoga Limau bahagia di syurga untuk kucing-kucing.

Adios Limau !

Jumaat, Mei 11

Bantah dan Duduk 2.0

Hidup masih normal , kadang-kadang bila menempuh hidup dewasa ni memang memeningkan. Tak sampai tiga hari dari sekarang aku dah nak  tender surat letak jawatan untuk kerja yang aku benar-benar suka. Tapi adat lah bekerja di bank. Kalau nak suka sepanjang masa, mana nak datang tekanan untuk kerja. Tambah-tambah lagi aku ni front person, orang yang buat sales. Cuma kali ni selepas setahun, bos aku dah lain macam peelnya. Itu salah, ini tak betul. Aku sebagai orang punk rock, mana boleh sedih-sedih. Tak kumpulan Aboi lah. Jadi nak tak nak, terpaksa aku cari kerja lain.

Tapi takpa, petang tadi aku dah tipu bos aku dan pergi interview dengan syarikat animasi ternama negara.

Kau hado?

Dulu masa aku baru-baru nak kenal scene masuk kolej pun tekanan dia boleh tahan. Mak abah aku waktu tu punya lah paksa aku masuk ke Kolej Islam. Sedangkan hati ni nak masuk Kolej Kat Shah Alam. Dalam hati membara marahnya, mana boleh macam ni. Buatnya malam-malam dia buat kiamulail dan aku kena jadi imam macam mana? Malu tau kalau Al-Fatihah harkat tak sampai.

Punya lah panas hati sampai update Myspace tak puas hati. Nasib waktu tu tengah adjust  makwe photography seorang ni. Asal nak marah je kena lentok, asal nak marah je kena lentok. Last sekali, dia tidur baru aku update benda bukan-bukan kat Myspace.

Bila sampai hari ke Kolej Islam, aku punya gementar sampaikan aku sikat rambut sehabis belah. Waktu kalau tak letak sebarang lampu kecemasan boleh terbabas kereta tak nampak corner baring. Selalu-selalu rambut kais pakai tangan ke depan je. Ya lah, waktu tu scene grunge tengah menaik. Waktu tu pun kemain juga aku perhati awek-awek dia, seorang pun tak macam awek photography. Waktu tu telahan aku dah macam nak tepat dah. Cilake.

Sampai lah kami diberikan bilik masing-masing. Runsing sungguh aku.

Seorang-seorang masuk. Aku sebagai orang yang ketiga masuk, kena lah senyum dengan orang yang terkemudian. Aku duduk atas katil paling atas, aku punya baring sambil memikirkan adakah punk aku hanya ketika hujung minggu ketika aku balik ke rumah? Biasa lah pemikiran budak muda baru nak up, tak pernah fikirkan langsung masa depan nak bayar PTPTN.

Sekarang ada brader Pahang seorang ni. Dia masuk lambat, bawa radio pula tu. Sekali dia masukkan plag radio dan klik kaset Tipe-X. Tak sangka pula lepas tu All Hell Break Loose.


Sambil makan nasi ayam malam tu aku dan tujuh budak rumah aku, kami berbincang macam mana Kurt Cobain boleh mati.

Selasa, Oktober 11

Biografi Penulis




Dulu aku pernah muda.

Dan masa muda aku penuh dengan perkara yang sangat berwarna-warni; aku sangat rebel, melawan, suka-ria, dan hedonist. Segalanya aku buat untuk mengisi kehidupan harian.

Dulu ketika aku seusia kau; muzik aku adalah punk, buku-buku bacaan aku pula selalunya berkenaan isu-isu pantang masyarakat Melayu Muslim, dan perempuan jangan cakap lah-- makwe Perancis pun aku pernah try.

Aku juga seorang pemuda yang aktif bergiat dalam kegiatan kemasyarakatan setempat dalam usia muda aku; aku seorang aktivis rakyat, seorang aktivis politik yang sayangkan negaranya, dan aku akan lawan segalanya yang menentang kuasa rakyat yang sepatutnya diutamakan sebelum pencapaian.

Ketika aku awal usia dulu, aku pernah mengarahkan dua pementasan di kolej, pernah merakamkan demo, dan berhutang satu filem pendek terhadap seorang kawan aku-- tu pun filem aku sudah hampir siap dan kebetulan rumah aku dipecah pencuri.

Tapi kini bila sudah mencapai 25 tahun, aku berpendapat bahawa aku sudah grad, sudah lulus segalanya tentang hidup. Walaupun aku sedar, banyak lagi nak kena tempuh tapi apa ada hal-- aku rasa hidup aku lagi power dari hidup kau.

Dan blog ini adalah cerita lalu tentang hidup aku yang pernah power, 11 tahun yang sudah.