Rabu, Ogos 22

Amerika Yang Bodoh


Waktu aku tengah handsome dulu, aku tengah usya seorang makwe ni. Bagi aku dia ni sangat cool; dia suka main skateboard, pandai breakdance, dia suka bising dalam perhimpunan dan dia suka bergaduh.

Betul tak tipu.

Dulu aku seorang pengawas. Nak dijadikan cerita, aku juga merupakan pengawas yang bertugas menjaga perhimpunan. Dari atas tempat aku bertugas, aku dapat nampak seorang makwe yang akan bercakap sangat kuat sampai ke depan sedangkan orang lain terkial-kial muka menahan panas. Aku tanda muka dia dalam otak aku dan cuba mencari siapa gerangan makwe ni.

Dengan bantuan kawan aku, aku dapat serba sedikit info tentang dia ni. Sekali kawan aku pesan yang nak mengorat dia kena pandai main skateboard. Apa lagi mencanak lah aku mencari papan selaju yang murah-murah nak kasi skill power dalam mengorat makwe. Sempat juga lah belajar buat Ollie dan Shuvit.

Di samping berjinak-jinak dengan skill skateboard, aku juga tak lupa skill-skill lembut iaitu membeli bunga dan kirim ke makwe waktu Friendship's Day kat sekolah. 

Tak sangka bila dia dapat bunga tu, dia bagi respon yang positif. Punya lah syok waktu tu ada makwe, sanggup sell-out tugas-tugas pengawas. Bila ada spotcheck, aku lah penyimpan Nokia 3310 dia dan liquid paper.  Selalunya juga aku lah juga whistle-blower  operasi-operasi pengawas kat dia.

Bahagia punya fasal.

Sebenarnya tak lama pun hubungan kami. Ada lah dalam 3 bulan sebelum kasih dia beralih arah dibawa angin lalu.

Tapi sempat juga aku tanya, kenapa dia pilih aku. Sedangkan orang secantik dia, ramai juga yang menghimpit.

'Sebab muka awak iras Fazley abang asmara' jawab dia pendek.

Muka nak serius.


Jumaat, Ogos 3

Selamat Berpuasa

Bulan puasa merupakan tempoh paling gembira bagi aku semasa kecil sampai dibawa sampai besar. Aku membesar di Kangar. Tempat ni seronok untuk membesar, tak ada pengaruh bukan-bukan bagi kanak-kanak naif seperti aku. Paling happening in town pun cyberpet.

Tapi ada satu ramadhan yang sentiasa aku akan ingat sampai bila-bila. Waktu tu tahun 1999, abah aku dapat kerja di Kuala Lumpur. Memang keluarga kami pun akan dipindahkan ke sana selepas raya. Aku punya cuak jangan ditegur. Pantang salah tegur boleh terguris hati dan perasaan.

Kuala Lumpur pada pandangan aku hiruk-pikuk, tak sama langsung dengan apa yang aku ada ketika itu. Ya lah-- MacDonalds mana pernah jumpa, panggung wayang pula sempat tengok Senario The Movie sebulan lepas tu tutup, Metrojaya dengan Parkson punya sales pun tua sikit baru nak jumpa. Sedangkan budak-budak Kuala Lumpur ni aku tengok Roy dengan Kuzi cool semacam je, jauh langsung dari aku yang dari bandar kecil ni.

Tu belum masuk dalam bahagian hilang member-member setaman lagi tu.

Dulu lah.

Jadinya lepas saja raya tahun tu (tahun 1999, puasa dan raya dekat hujung tahun) kami pun berpindah ke tempat baru. Aku sempat habiskan cuti sekolah dalam 2 minggu saja sebelum mendaftar ke sekolah. Ingat lagi waktu tu abah tak boleh tunggu untuk pendaftaran sekolah aku, jadi aku terus naik van ke sekolah. Gila cuak baq hang.

Aku punya pelat utara sangat lah pekat sampaikan semua orang memang tak faham aku cakap apa. Yelah depa tu semuanya pelajar cina dan india, aku saja yang melayu dalam van tu. Depa pula tau cakap Inggeris saja. Aku buka aku punya speaking, memang menganga la depa.

Bila sampai saja sekolah satu lagi bala melanda. Agaknya macam mana entah masalah birokrasi kat sekolah tu, aku ditempatkan ke dalam kelas terapung. Kelas terapung ni sebenarnya merupakan kelas yang diwujudkan disebabkan terlebih pelajar untuk diagihkan ke kelas-kelas. Jadi bila ada kelas kosong baru kami boleh masuk, kalau tak merempat dalam bengkel atau makmal sains.

Tambah lagi pelik, aku sepatutnya tingkatan dua tetapi kelas terapung ini untuk tingkatan satu. Macam mana aku boleh angguk waktu cikgu tu suruh masuk ke kelas ni pun aku tak tahu. Seperti diberi nasi kangkang pula.

Stress memang stress. Balik rumah pun sedih saja mengenangkan nasib kena jadi budak tingkatan satu dua kali.Bila mak tanya tengok anak dia sedih, semuanya tak ada masalah. Tapi aku stress. Lepas dua minggu, aku membulatkan hasrat. Macam mana pun, aku kena fight untuk lompat balik ke tingkatan dua.

Jadi aku pergi jumpa dengan cikgu yang mula-mula letak aku dalam kelas terapung tu aku cakap, 'Cikgu saya tingkatan dua. Cikgu dah silap bagi saya masuk kelaih'

'La kenapa tak cakap?' cikgu tu jawab balik.

Senang saja rupanya. Aku saja yang buat teruk stress meres. Aku diberi jalan ke 2 Adil. Kelas aku yang sepatutnya. Sampai sana aku nampak, hampir separuh budak van aku pun kelas 2 Adil.

Celaka.

Sambil berdiri menunggu cikgu kelas untuk datang menguruskan aku. Orang pertama yang tegur aku ialah Izzat. Ingat lagi pertanyaan pertama dia cakap kat aku;

'Kenapa kau menangis ?'

Sebenarnya tu air peluh yang lalu kat mata. Tanda penatnya aku berpusing-pusing di Kuala Lumpur.