Jumaat, Mei 18

Hari Guru Ibarat Lilin

Bila sudah dewasa dan bekerja ni, baru lah kita menyesal benda yang bukan-bukan. Ramai kawan-kawan di Facebook mengeluh betapa mereka rindu pada guru-guru, uniform sekolah, makwe-makwe yang mereka hanya sempat pegang tangan, dan unit beruniform yang mereka pernah sertai.

Tetapi tidak aku.

Tidak sama sekali.

Kalau pun aku masih nak bersekolah, mungkin sekolah takkan terima aku.

Waktu bersekolah di sebuah sekolah di atas bukit sekitar Cheras-Kajang dulu, aku merupakan pelajar yang rosak akhlak dan sering menimbulkan huru-hara di kalangan guru-guru bersama 7 kawan yang lain. Mana taknya--- kalau kau masuk kelas kami, kau akan nampak kami jauh kebelakang. Mungkin selang 2 meja makmal punya terkebelakang. Dan cuba periksa buku-buku kami, mesti ada kesan kertas dikoyak untuk memberi ruang kepada helaian kertas baru --- tak buat kerja sekolah punya pasal, jadi hilangkan bukti. 


Like a boss.

Tapi pernah sekali, aku punya sekolah nak mengadakan hari guru peringkat sekolah. Jadi disebarkanlah berita ini ke serata sekolah. Untuk rekod, aku memang selalu menyertai sebarang persembahan yang dibuat di sekolah itu kalau mendapat peluang. Macam tahun sebelum itu, kami membuat persembahan dikir barat. Tapi untuk kali ni memandang aku sudah mencapai tahun senior di situ, aku cuba untuk membuat sesuatu yang akan menonjolkan diri sendiri.

Caranya senang, buat persembahan yang bukan secara berkelompok. Paling ramai pun 2 orang. Waktu tu Linkin Park tengah menaik, semua makwe boleh dikatakan memberahikan si Mike Shinoda. Jadi memang jalan yang terbaik lah kiranya aku memilih lagu Nobody's Listening untuk persembahan tahun terakhir aku di sekolah tu.

Aku ada ajak kawan baik aku si Izzat untuk turut sama. Dia pandai main gitar, jadi rancangan awalnya nak buat set akustik. Tapi dia menolak memandangkan dia bertugas sebagai pengacara hari guru tu. Sebagai ganti, Termizi yang sedang mendengar perbualan kami tadi menawarkan diri untuk mengganti Izzat.

Pucuk dicita, ulam mendatang.

Jadi latihan pun bermula. Si Termizi rakam lagu tu, yang mana dia memperlahankan vokal penyanyi macam mana entah, teknikal sangat sampai walwahualam aku pun tak tahu. Peringkat awalnya latihan kami berjalan dengan lancar sekali, yang mana aku yakin kami akan mendapat sambutan ramai.

Bila sampai hari ujibakat tu tiba-tiba bencana berlaku. Si Termizi tiba-tiba mendapat panggilan untuk pesta Sains apatah. Tengahari dia dapat tau, tengahari juga dia pergi. Sempat dia berpesan kepada aku yang dia sedikit kecewa tentang perkara ini dan dia minta aku untuk teruskan membawa lagu Linkin Park tu petang ni. Nampaknya persembahan memang akan jadi cacat memandangkan si Termizi dapat bahagian rap yang mana aku sumpah tak reti!

Petang tu, aku naik ke atas pentas bagaikan orang hilang akal. Bayangkan muzik yang ada rap tapi tak bunyi rap, lepas tu tak semena-menanya ada orang menjerit. Tak sampai satu verse pengetua keluar menghempas pintu bilik dia dan menjerit dalam bahasa Inggeris.

'No no No no no !'

Dan ketika aku berlari melompat dari pentas. Aku dapat nampak beberapa geng dikir- barat tengah gelakkan aku. Izzat pun.

Padan muka .


Tiada ulasan:

Catat Ulasan